
Episod malang sukan bola sepak Malaysia berulang lagi apabila harapan menggunung untuk kejuaraan sulung kejohanan paling berprestij Asia Tenggara, Piala AFF Suzuki berkubur apabila skuad negara tewas 0-3 kepada Thailand di Phuket.
Skuad bimbingan B. Sathianathan yang dikatakan memiliki adunan terbaik dari segi kualiti pemain mahupun persediaan untuk ke kejohanan tersebut, masih gagal membawa kejayaan yang lama diidam-idamkan.
Walaupun skuad negara menjuarai kejohanan Pesta Bola Merdeka tahun lalu, ia belum cukup berprestij untuk dijadikan satu kemegahan.
Ini bermakna era kegemilangan pada 1980-an apabila Malaysia membenam Korea Selatan 2-1 untuk layak ke Olimpik Moscow pada 1980 hanya tinggal memori yang masih tidak mampu diulangi.
Kejayaan layak ke kejohanan besar seperti ke Sukan Olimpik Munich dan meraih gangsa Sukan Asia di Teheran masih gagal dijelmakan semula oleh pemain generai sekarang.
Menghalusi kegagalan terbaru di Phuket, kecundang di peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF Suzuki yang sebelum ini dikenali Piala Tiger, menyedarkan kita betapa banyak perkara yang perlu diperbetulkan demi memulihkan maruah bola sepak negara nampaknya menjadi bahan jenaka para peminat.
Betapa tidak, kesilapan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Helm Eliza Elias yang dinobat penjaga gol terbaik negara yang meninggalkan posisi hingga melepaskan gol mudah ketika tumpas 2-3 kepada Vietnam tempoh hari, tidak sepatutnya berlaku.
Namun segala-galanya sudah berlalu dan selepas kegagalan di Phuket, peminat terpaksa menunggu untuk entah berapa lama lagi bagi skuad bola sepak kita mencatat kejayaan yang benar-benar membanggakan.
Mengulas kegagalan membawa skuad kebangsaan ke final, Sathia mendakwa ia bukan disebabkan keupayaan atau permainan skuad negara jauh ketinggalan berbanding lawan di kelompok Asia Tenggara.
Cuma katanya, nasib tidak menyebelahi skuad kebangsaan di kejohanan kali ini.
Alasan Sathia, kalah kepada Vietnam dalam perlawanan yang sepatutnya menjadi milik skuad negara merupakan titik tolak kegagalan mutlak kita di Phuket.
“Saya katakan begitu kerana jika kita menang atau seri dengan Vietnam, maka kita tidak akan beraksi dalam keadaan terlampau tertekan apabila menentang Thailand selepas itu sehingga menyebabkan kita kalah 3-0.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana bagi saya para pemain sudah mencuba yang terbaik tetapi apalah daya saya.
“Kita juga tidak boleh salahkan Mohd. Helmi (penjaga gol) kerana melepaskan gol mudah ketika menentang Vietnam.
“Dia merupakan penjaga gol terbaik negara tetapi siapa sangka dia secara tiba-tiba gagal beraksi seperti biasa dalam perlawan dengan Vietnam?’’ kata Sathia.
Akibat tekanan, skuad negara yang berdepan Thailand dalam perlawanan terakhir kumpulan di Piala Suzuki AFF mengulangi kesilapan seperti mana ketika tewas 1-4 kepada Myanmar di separuh akhir Piala Cabaran Grand Royal, baru-baru ini.
Dalam perlawanan itu, pemain tidak menjaga disiplin apabila meninggalkan posisi (pertahanan) untuk membantu barisan depan memburu gol.
“Inilah akibatnya apabila bermain di bawah tekanan (dengan Thailand). Keadaan mungkin sebaliknya jika kita menang atau seri dengan Vietnam sebelum itu,’’ kata Sathia.
Gagal melepasi cabaran peringkat kumpulan pada saingan di Phuket tempoh hari bermakna skuad negara gagal mengatasi pencapaian terbaik apabila muncul naib juara kejohanan edisi 1996.
Secara tidak langsung kegagalan di Phuket menyebabkan nasib Sathia sebagai jurulatih kebangsaan kini hanya menanti saat untuk ditamatkan kerana gagal mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Salah pemain?
Kemewahan yang dinikmati oleh pemain bola sepak hari ini dikatakan menjadi antara punca kemerosotan skuad bola sepak negara.
Manja, mementingkan ganjaran dan tidak kreatif merupakan kritikan lumrah oleh peminat kepada pemain yang kini bergelar pemain profesinal.
Meminjam kata-kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong `pemain kita perlu ‘go back to school’ kerana persembahan mereka cukup mengecewakan’, ada juga benarnya.
Ini kerana kerajaan sudah banyak membantu sukan bola sepak tetapi tiada peningkatan yang ditunjukkan.
Merujuk perlawanan dengan Thailand tempoh hari, permainan pasukan lawan tidaklah sebagus mana pun, tetapi malangnya pemain kita bermain lebih teruk daripada mereka.
Jika keadaan begini berterusan, usah bermimpi untuk melahirkan idola bola sepak negara seperti allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R.Arumugam Shukor Salleh mahupun Datuk Soh Chin Aun.
Amanat Sathia
Begitupun bagi Sathia, kegagalan di Phuket tidak bermakna berakhirnya sinar bola sepak negara.
Cuma harapannya supaya para pemain yang ada sekarang dikekalkan.
Alasannya skuad yang menggabungkan pemain muda dan senior ini merupakan formula terbaik untuk membentuk gandingan terbaik.
“Mana-mana pasukan sekalipun tetap akan ada pemain senior kerana pengalaman amat penting untuk memantapkan pasukan.
“Untuk itu kepada bakal pengganti saya, saya harap skuad yang ada sekarang jangan dibubarkan.
“Mereka sudah serasi. Pemain senior dan muda saling memerlukan. Tanpa pemain senior, sukar untuk pemain muda mempersembahkan permainan yang baik.
“Skuad yang saya bimbing masih muda kerana belum sampai setahun digandingkan.
“Namun mereka ini telah memperlihatkan keserasian dan kematangan. “Malahan skuad inilah yang berjaya meningkatkan Malaysia dalam rangking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dari kelompok 160 kini di tangga ke-150.
“Teruskanlah dengan para pemain yang ada sekarang, kerana sejak menjadi jurulatih, skuad ini kalah hanya empat daripada 11 perlawanan antarabangsa.
“Saya berpuas hati kerana para pemain ini memberikan aksi 100 peratus dalam setiap perlawanan.
“Mereka ini mampu menjadi ‘mutiara’ yang menyinari semula bola sepak kita.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan telah apa yang saya berikan demi memperbaiki pencapaian skuad bola sepak negara namun hanya inilah yang saya mampu buat.
“Saya masih mampu berbangga kerana meninggalkan sekumpulan pemain yang boleh disandarkan harapan untuk menjulang bola sepak negara, Teruskanlah dengan apa yang telah saya bina ini, cuma masa yang akan menentukan untuk mereka ini mengulangi memori indah seperti era bola sepak 1980-an,’’ katanya.

masih di takuk yang lama... memang mengecewakan bila menonton aksi skuad Harimau Malaya di kejohanan Piala AFF Suzuki di Phuket, Thailand ini.. tak tahu apa yang tidak kena, permainan yang tidak kemas, pertahanan yang longgar serta barisan serangan yang lemah dipersembahkan menyaksikan Malaysia tunduk 2-3 kepada Vietnam sebelum dilaukkan Thailand 3-0..
aku menonton ketiga-tiga perlawanan Malaysia secara langsung di Astro.. pada 6 Disember menentang Laos, walaupun Malaysia menang 3-0 namun apa yang aku saksikan, perlawanan Malaysia agak membosankan dan Laos sebuah pasukan belasahan dilihat mampu untuk menyayingi penguasaan bola Malaysia pada perlawanan itu.. Laos mampu melancarkan serangan2 yang menyaksikan penjaga gol Helmi perlu bekerja keras.. apa sudah jadi? pastinya kerana prestasi lemah barisan tengah dan pertahanan yang rata2 dibarisi pemain muda.. memang tidak dinafikan, pemain muda dalam skuad kebangsaan dilihat masih mentah dan kurangnya pengalaman menyaksikan permainan yang dipamerkan mereka amat mendukacitakan.. pada perlawanan menentang Laos, hanya selepas Safee Sali dimasukkan, barulah skuad negara bersemangat dan berjaya menjaringkan gol.. betullah kata Sheby yang mengacarakan siaran langsung itu, hanya Safee Sali yang mampu untuk mencipta gol untuk negara.. aksi penyerang veteran seperti Hairuddin aku lihat sudah tidak berfungsi..
pada hari raya korban pula 8 Disember, sedang rumah aku riuh-rendah dipenuhi oleh sanak saudara yang berkumpul, aku dan beberapa orang sepupu sempat menyaksikan perlawanan yang amat mendebarkan antara Malaysia dengan Vietnam yang berkesudahan dengan kekalahan memalukan 2-3 Malaysia kepada Vietnam.. kenapa aku cakap kekalahan yang memalukan? pastinya semua orang sudah sedia maklum Malaysia tewas melalui 'gol bodoh' ketiga oleh Vietnam yang dihadiahkan oleh penjaga gol Malaysia yang beraksi untuk Kedah, Helmi.. komen aku tentang perlawanan ni, aku puji sikit laa barisan skuad negara sebab mereka ada semangat untuk melawan setiap kali ketinggalan sehingga berjaya menyamakan kedudukan 2-2 melalui gol cantik oleh Indra melalui sepakan percuma dalam kotak penalti.. namun beberapa minit selepas gol kedua, tegamam aku bila melihat 'kebodohan' Helmi melepaskan gol ketiga untuk Vietnam.. bola lambungan jauh oleh pemain Vietnam gagal diagak dengan tepat oleh Helmi yang terlalu ke depan dari gawang gol.. hmm apa nih? ketua jurulatih negara B. Sathianathan, mengeluarkan kenyataan "Mohd Helmi adalah penjaga gol terbaik di Malaysia ketika ini, tapi pada perlawanan ini (menentang Vietnam), dia adalah penjaga gol paling teruk!" betul laa cakap Sathia.. aku setuju sebab aksi Helmi bersama Kedah amat membanggakan sehingga Kedah berjaya menggondol tiga piala untuk dua tahun berturut2.. mungkin Helmi gagal mengawal tekanan sehingga melepaskan tiga gol mudah pada perlawanan itu.. tekanan beraksi dalam liga di Malaysia tidak sama dengan tekanan berkhidmat untuk skuad kebangsaan.. pemain harus pandai mengawal tekanan!
pada perlawanan terakhir dua hari selepas itu, walaupun perlawanan tidak jadi dipindahkan ke Bangkok dan FAM berjaya dalam bantahan yang dikemukakan, namun itu tidak mengubah apa2 kerana prestasi skuad Harimau Malaya tetap longlai.. perlawanan mudah dikuasai sepenuhnya oleh skuad negara Gajah Putih yang mudah menundukkan Malaysia 3-0.. aku tak tau nak komen apa tentang perlawanan ni.. walaupun dah tukar penjaga gol, persembahan tetap sama2.. tapi kali ni kelonggaran di barisan pertahanan amat ketara, pemain pertahanan memang leka untuk membantu skuad hadapan sehingga meninggalkan posisi masing2.. aku dapat lihat kawasan gawang Malaysia akan lengang setiap kali skuad negara sedang melakukan serangan yang mana ini memudahkan skuad Thailand melakukan counter-attack dan menjaringkan gol..
apa sekalipun, nasi sudah menjadi bubur! sekarang ni semua orang sedang menyuarakan pendapat masing2 bagaimana untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.. kekecewaan di Piala AFF Suzuki menyaksikan ura2 ketua jurulatih negara B. Sathianathan akan dipecat kerana gagal mengotakan syarat untuk kekal sebagai jurulatih iaitu melihat skuad negara beraksi di Final..
apa sebab utama agaknya skuad negara tidak secemerlang dulu.. ada mengatakan pemain yang beraksi untuk skuad kebangsaan hanyalah mahu mengejar ganjaran elaun yang tinggi, oleh itu mereka tidak kisah menang atau kalah sekalipun.. betul ker? atau ini salah jurulatih? maka kita perlukan jurulatih luar ker?? ada pula yang menyatakan ini salah perancangan dari FAM yang gagal menyemarakkan bola sepak di Malaysia dan gagal mencari bakat2 yang benar2 berkebolehan.. satu yang menarik ketika menonton rancangan ARENA di RTM1 baru2 ini, seorang daripada tetamu undangan (aku lupa nama dia, tapi nama besar juga dalam bolak sepak negara) menyatakan satu perkara yang kita tidak sedar akan mengganggu gugat pencarian bakat baru dalam bola sepak negara adalah berkembangnya permainan futsal di Malaysia.. beliau menyatakan permainan futsal (dalam dewan) tidak sama dengan permainan di padang, hebat dalam futsal tidak semestinya hebat juga dalam bola sepak.. betul juga apa dia cakap.. sekarang ni anak muda kita lebih gemar main futsal dari mengotorkan badan main bola sepak di padang.. lagipun main futsal bila2 masa boleh tapi jika bola sepak, nak main malam2 kena ada lampu atau stadium.. FAM harus ambil berat tentang ini, tidak salah untuk memajukan futsal di Malaysia.. tetapi ia haruslah seiring dengan pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi..
sekarang kita bincang pula, apa alternatif terbaik untuk memajukan bola sepak negara.. aku suka dengan pandangan untuk menswastakan FAM dan bolak sepak negara.. kita ikut seperti mana di EPL, syarikat swasta dan jutawan2 menguasai kelab2 bola sepak.. hal ini dapat memberikan lebih dana untuk kelab mencari bakat2 baru serta menyediakan prasarana sukan yang lebih moden untuk pemain.. menswastakan bola sepak juga aku lihat dapat membasmi masalah kewangan seperti mana yang dihadapi oleh pasukan2 negeri ketika ini.. inilah masalahnya, bila pasukan negeri dipegang oleh kerajaan negeri dan bila kerajaan negeri bertukar, masalah akan dihadapi oleh pihak pengurusan.. kebiasaannya pengurus pasukan bola sepak negeri dipegang oleh YB atau individu yang dipilih oleh kerajaan negeri.. bila politik ada dalam sukan bola sepak, kita terpaksa menanggung risiko seperti ini.. kita harus ikut seperti apa yang dilakukan oleh FIFA, mereka akan menggantung keahlian mana2 negara jika kerajaan negara tersebut masuk campur dan menimbulkan masalah dalam urusan pertubuhan bola sepak negara itu..
sebenarnya kita harus banyak melihat dan belajar dari negara luar, tidak salah meniru asalkan yang ditiru itu perkara baik dan boleh memberi keuntungan kepada kita.. jangan hanya mencari salah siapa, apa yang harus dicari sekarang adalah alternatif untuk menaikkan mutu bola sepak negara.. cari Super Mokhtar yang baru untuk skuad kebangsaan!
majulah BOLA SEPAK untuk MALAYSIA...





2 komen:
nak tambah sikit tulisan aku di atas... secara peribadi aku lihat langkah FAM untuk mengharamkan penglibatan pemain import dalam kancah liga Malaysia musim hadapan adalah satu langkah yang tidak wajar dan agak ke belakang...
langkah ini pernah dilakukan dulu dan terbukti menemui kegagalan, hairan aku kenapa ia harus diulang sekali lagi??
tiada aksi pemain import kemungkinan besar akan menyepikan lagi sokongan penonton di stadium yang dahagakan aksi serta skill2 menarik atas padang.. bukan tak percaya dengan kemampuan pemain tempatan.. tapi dengan adanya pemain import ia sedikit sebanyak membolehkan pemain tempatan belajar sesuatu daripada mereka..
aku sokong kenyataan meor..
kenapa nak haramkan pemain import?
dlu,pemain import dibenarkan..lepas tu,haramkan untuk 2-3 musim..
lepas tu boleh lagi,untuk 2-3 musim..
ni tak boleh balik..di mana konsistensi?apa yang FAM fikir?jangan jadi bodoh..konsisten la sikit..
perkara ini boleh diibaratkan dengan,seorang murid sekolah rendah..murid ini tiap2 tahun tukar sekolah..jadi pelajaran dia pun terganggu kerana tiadanya konsistensi..jadi keputusan UPSRnya hampeh..mcm keputusan bola sepak negara kita ni lah..konsisten lah..
-maxx-
Post a Comment